Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia
pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul
ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka
salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam
bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari
rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama;
apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan,
ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima;
larilah engkau daripadanya."
Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan
kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam.
Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama
aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat
dilaksanakan."
Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk
memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri
sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu
disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun
mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.
Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah
mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas
Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian
ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun
menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi
itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan
perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar
semula dari tempat ia ditanam.
Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang
mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata,
"Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu,
hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke
dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang
menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar
dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan
harapanku dari rezekiku."
Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak
boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara
itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong
sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging
itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.
Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia
bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari
dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah
menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam
itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku,
maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."
Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah
s.w.t. bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi
pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu
pun akan menjadi lebih manis daripada madu. Kedua semua amal kebaikan (budi),
walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak
jua.
Ketiga jika sudah menerima amanah
seseorang, maka janganlah kamu khianat
kepadanya. Keempat jika orang meminta kepadamu,
maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima bau yang busuk itu ialah ghibah
(menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk
berkumpul membuat ghibah."
Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri
kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan
kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah
mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang
lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan
menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti
ada seorang hamba Allah akan terkejut
melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di
dunia dulu."
Maka berkata Allah s.w.t., "Ini
adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini
haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi
kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah
kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.