Bismillahirahmanirrahim..
Kadang2 kita lebih fokus melihat tanda-tanda al-Qadar pada alam, air dan lain-lain dipersekitaran. Sedangkan tanda mendapat al-Qadar itu ada pada diri sendiri. Bukankah mereka yang bertemu dengan malam al-Qadar amat bertuah kerana doa, taubat dan hajatnya "diangkat" oleh para malaikat lalu dimakbulkan Allah? Jadi, jika seseorang mendapat al-Qadar tentu jiwanya lebih tenang, akhlaknya menjadi lebih baik dan ibadahnya (sama ada habluminallah dan habluminannas) bertambah lebat.
Justeru, tepuk dada dan tanyalah diri sendiri, bagaimana akhlak kita selepas "malam tadi" (malam yang dirasakan malam al-Qadar) apakah sudah berubah, terasa lebih ringan melaksanakan kebaikan dan rasa semakin enggan melakukan kejahatan? Jika ya, ya, kita telah mendapat malam al-Qadar. Bagaimana pula dengan sifat mazmumah – marah, hasad dengki, dendam, penakut, bakhil, cinta dunia, gila puji, riyak, ujub, cinta makan? Apakah semua sifat mazmumah itu semakin kendur, kalau tidak pun lebur sama sekali? Jika jawapannya ya, ya, malam al-Qadar sudah menjadi milik kita!
Malam al-Qadar ialah malam yang paling sibuk laluan ke langit dunia (umpama trafik jam) kerana turunnya pelbagai malaikat yang tidak kira banyaknya. Meriah sungguh sampai terbit fajar. Malaikat turun secara luar biasa banyaknya itu termasuklah yang paling tinggi pangkatnya di kalangan mereka – malaikat Jibrail. Masing-masing ada tugasnya. Pelbagai urusan dilaksanakan oleh mereka.
Salah satu urusan ialah "bertamu dalam hati" orang Islam yang bersih hatinya. Sekali bertamu tetapi kesannya berpanjangan. Impaknya, hati orang yang pernah menjadi tempat singgah malaikat akan berubah. Bisikan para malaikat mula mengambil tempat yang khusus dan menjadi begitu dominan dalam kehidupan seseorang itu. Mulai detik itu bisikan kebaikan (dari malaikat) akan mengatasi bisikan kejahatan (dari Syaitan) dalam hati orang tersebut.
Ya, hidup ini sebenarnya kita lalui antara dua bisikan. Pertama, bisikan "hati kecil" yang suci dan baik. Kedua, bisikan "hati besar" yang kotor dan jahat. Bisikan ini sentiasa berperang dalam hati. Justeru, hati hakikatnya adalah wadah rebutan antara Malaikat dan Syaitan. Antara ilham dan was was. Siapa yang menang, dialah yang akan menakluki hati dan terarahlah hati itu ke arah yang dikehendaki oleh "penakluknya".
Orang yang mendapat malam al-Qadar sungguh bertuah. Hasil mujahadah, doa, taubatnya pada malam berkenaan, malaikat terus bertamu dan mendominasi hatinya. Sejak malam itu suara hati kecilnya akan sentiasa mengatasi hati besarnya. Mujahadahnya akan terbantu. Perjalanannya menuju Allah akan lebih terpimpin dan terjamin. Hatinya menjadi pusat kesucian dan kebaikan, maka lahirlah yang baik-baik sahaja pada tindakan dan percakapan. Mahmudahnya menenggelamkan mazmumah.
Itulah hati orang yang telah mendapat malam al-Qadar. Orang lain mungkin tidak perasan pada awalnya. Ia hanya dapat dirasai oleh orang yang mengalaminya. Rasa tenang, bahagia, lapang dan sejuk. Kemudian sedikit demi sedikit orang lain mula ketara. Ah, dia sudah berubah. Ah, indahnya perilakunya. Subhanallah, dia telah berubah. Apa yang ada dalam hatinya mula terserlah. Dan itulah tanda-tanda malam al-Qadar tahun itu yang paling ketara dan terasa, bukan pada alam dan jagat raya tetapi pada diri manusia makhluk yang paling sempurna.
Demi Allah Yang Maha Esa, Sesungguhnya tidak disediakan jalan yang mudah untuk menuju cinta Mu.. Menitis air mata tatkala merindu… Menitis air mata tatkala merasakan semakin menjauh… Tetapi janji Allah tetap segar dan mekar tanpa pengkhianatan..kerana ku tetap yakini.. Allah menyatakan “Wajiblah cintaKu kepada orang-orang yang berkasih sayang kepadaKu”
(Asy-Syahid Hassan al-Banna)
(^^,)
0 comments:
Post a Comment