Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama Biro Siswazah Muda Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM) Sabah (SISMA) telah mengadakan Program Kami Prihatin pada 12-14 Ogos 2011 di Rumah Putera Harapan, Ranau.
Pada masa yang sama, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah dengan kerjasama JAKIM Caw. Sabah dan Telekom Malaysia juga mengadakan Program Ihya Ramadhan : Membina Insan Bertaqwa pada 13-14 Ogos 2011 di Kampung Tinutuan dan Kampung Timbua Ranau.
Biro SISMA pada mulanya bertanggungjawab mengendalikan program Kami Prihatin, namun 3 orang dari muslimah SISMA terpaksa diserap untuk mengikuti program Ihya Ramadhan untuk turut serta memberi sedikit pengisian kepada penduduk kampung.
Kami memulakan program pada hari pertama di kampung Tinutuan. Perjalanan untuk ke sana dari Pekan Ranau mengambil masa lebih kurang sejam walaupun jaraknya tidaklah sejauh mana. Namun, keadaan jalan yang tidak berturap menyukarkan lagi perjalanan.
Sampai sahaja di Tinutuan, kami disambut meriah oleh penduduk kampung yang beragama Islam yang majoritinya adalah mualaf. Saya boleh tafsirkan raut wajah mereka seolah-olah mengharapkan suatu pengisian yang mampu meningkatkan lagi kefahaman mereka terhadap agama syumul yakni Islam.
Program dimulakan dengan ucapan daripada Yang DiPertua ABIM Sabah, seterusnya ucapan ringkas daripada imam kampung Tinutuan. Program kemudiannya diteruskan dengan pembahagian kumpulan iaitu kumpulan kanak-kanak, belia muslimin dan muslimah serta warga senior muslimin dan muslimah. Mereka diterangkan mengenai asas-asas fardhu ain seperti bacan dalam solat, konsep thaharah, akidah dan lain-lain lagi.
Selesai solat Zohor, program diteruskan dengan praktikal Solat, Tayamum, Istinjak dan cara menyucikan najis. Sementara menunggu waktu Asar, masa yang terluang diisi dengan sesi soal jawab mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan agama. Majlis penyerahan sumbangan kepada keluarga miskin pula dilaksanakan selepas solat Asar.
Pada waktu Maghrib pula diadakan majlis berbuka puasa bersama penduduk kampung, disusuli dengan solat Maghrib berjemaah, kuliah Maghrib, Solat Isyak dan Solat Terawih. Kemudian kami berangkat pulang ke Rumah Putera Harapan. Sesungguhnya pengalaman bersama para mualaf di pedalaman ini cukup memberi kesedaran bahawa pentingnya penghayatan ilmu agama secara istiqomah agar akidah tetap terpelihara.
Perjalanan diteruskan lagi ke kampung Timbua pada keesokan harinya yang mengambil masa lebih kurang setengah jam dari kampung Tinutuan. Aktiviti yang dilaksanakan adalah lebih kurang sama dengan aktiviti di kampung Tinutuan. Cuma keadaannya nampak lebih baik sedikit kerana kawasannya yang agak luas dan kemudahan seperti surau, bilik air dan tempat wudhu lebih selesa.
Program selama dua hari ini amat mencabar ketahanan fizikal dan mental, namun tidak ada jalan mudah untuk menyebarkan dakwah. Program tahunan ini diharap dapat dijalankan dengan lebih kerap lagi untuk memantau perkembangan saudara-saudara yang jauh di pedalaman. Sumbangan seperti beras, minyak dan gula juga turut diedarkan sebagai tanda keprihatinan masyarakat terhadap mereka yang kurang bernasib baik.
Disediakan oleh : Nurhamiezrah Midin, Ahli Biro Siswazah Muda ABIM (SISMA) Sabah.
(^^,)v
0 comments:
Post a Comment